RSS
Post Icon

Tidak sempat jumpa sepupu

TEMERLOH: “Saya sebak dan pilu tidak sempat berjumpa dengan abang sepupu kerana kami sepatutnya bertemu di rumahnya petang kelmarin,” kata ahli perniagaan, Azahar Ali, 47, sepupu kepada Nor Shahrin Hassan, 62, yang terbunuh selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah Toyota Vios di Kilometer 160, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Lanchang, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tinggal di Kampung Padang Tenggala, Seberang Temerloh, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Sementara itu, rakan mangsa, Ramlee Mohamad, 46, yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), dekat sini, untuk rawatan lanjut.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang juga seorang duda dan tidak mempunyai anak ditemani Ramlee dalam perjalanan ke Rawang, Selangor untuk bertemu adiknya Khatijah, 55.

Azahar berkata, dia mendapat panggilan mengenai kejadian itu daripada ibunya, Zainab Mohd Natar, 82, kira-kira jam 11.15 pagi sebelum bergegas ke Hoshah.

“Sepatutnya saya menghubungi arwah untuk memaklumkan kedatangan saya ke rumahnya pada petang hari yang sama, namun tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk dengan urusan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah awal bulan lalu dan dalam pertemuan itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya ceria seperti biasa.

Azahar berkata, jenazah sepupunya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benus, dekat Bentong selepas dibawa pulang dari Rumah Mayat Hoshah, malam kelmarin.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan