RSS
Post Icon

Pasangan rentung

JOHOR BAHRU: “Kami lihat pasangan berkenaan terkulai dan tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta. Tiada apa kami dapat lakukan, hanya menahan sebak melihat mereka rentung tanpa dapat membantu,” kata Mohd Amir Rashid, 38, yang tidak dapat membantu Norhisham Wahab, 34, dan tunangnya, Rafidah Hairodin, 27, daripada rentung selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh lori di Kilometer 2.7, Lebuh raya Kempas, semalam.

Amir bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman di bandar raya ini yang ditemui di tempat lokasi kejadian berkata, dia dan dua rakan sedang bermain badminton di dewan berhampiran apabila terdengar bunyi dentuman kira-kira jam 10.15 malam.

“Kami bergegas ke tempat kemalangan dan mendapati kebakaran baru saja bermula di kepala lori dan belakang Kancil. Kami cuba membuka pintu kereta tetapi gagal kerana remuk selain api yang semakin marak.

“Ketika itu, seorang pemandu teksi muncul dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api bersaiz kecil tetapi gagal,” katanya.

Ketika masing-masing berusaha menyelamatkan pasangan berkenaan, api tiba-tiba menyambar keseluruhan Kancil menyebabkan mereka semua terpaksa berundur kerana bimbangkan keselamatan diri.

“Ia cukup memilukan kerana kami nampak dengan jelas pasangan berkenaan terbakar. Semua yang ada pilu kerana gagal menyelamatkan mereka,” katanya berlinangan air mata.

Selepas kira-kira 10 minit Kancil itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat pada kenderaan itu, mengundur.

“Saya dan rakan menghampiri lori itu tetapi pemandunya didapati sudah tiada. Kami cuba mencarinya namun gagal,” katanya.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan