RSS
Post Icon

Enam penguat kuasa dikurung pendatang 40 lelaki bersenjata pertahan dalang palsu dokumen

KUALA LUMPUR: Enam anggota penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan yang membuat serbuan ke atas sindiket pemalsuan pas pelajar di sebuah flet di Jalan Bukit Bintang di sini, malam kelmarin, dikunci dari luar dan dikepung 40 lelaki rakyat asing bersenjatakan parang, kayu dan pisau.

Kejadian berlaku jam 7 malam selepas pasukan itu menahan lelaki Bangladesh yang juga pakar komputer berusia 30-an disyaki memalsukan pas pelajar institut pengajian tinggi swasta.

Pasukan itu bernasib baik selepas mereka menjerit ke arah anggota polis yang meronda di kawasan itu melalui tingkap premis mereka dikurung. 

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata kumpulan rakyat Myanmar dan Bangladesh yang mengepung mereka bagaimanapun melarikan diri sejurus menyedari polis menghampiri bangunan itu. 

Katanya, siasatan mendapati kumpulan yang melakukan kepungan itu anggota sindiket dan pelanggan kepada lelaki Bangladesh yang juga suspek utama. 

Hasil pemeriksaan di premis itu, pihaknya merampas komputer dilengkapi mesin faksimili serta mempunyai pelbagai perisian dokumen pendaftaran khidmat memperbaharui pasport palsu, pas pelajar palsu, sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pelbagai dokumen Jabatan Imigresen Malaysia. 

“Suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu,” katanya. 

Lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan serta Seksyen 56 (1)(L) akta yang sama atas kesalahan melakukan pemalsuan dokumen dan Seksyen 12 (1)(c) kerana memiliki pasport milik orang lain. 

Berita Harian
6 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan