RSS
Post Icon

Sempat mengadu pening sebelum maut

ALOR SETAR: “Saya nampak mangsa tercampak jauh dari motosikalnya dan terbaring di atas jalan. Ketika itu dia masih bernyawa dalam keadaan menggelupur sambil mendakwa kepalanya rasa amat pening.”

Begitu kata S Suja, 36, saksi kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal dan kereta yang meragut nyawa seorang remaja lelaki, Aliff Shalihin Sulaiman, 18, di Lebuhraya Darulaman, di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Suja berkata, dia cuba menggerakkan mangsa dan melihat kepalanya pecah serta berlumuran darah, tetapi keadaannya agak lemah sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

“Saya kasihan melihat keadaan mangsa sebab dia boleh diselamatkan kalau pemandu kereta yang melanggarnya sempat menghantarnya ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai Penjara Alor Setar bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Usaha Harian Metro untuk menemubual bapa mangsa gagal apabila dia masih bersedih dan terkejut dengan kejadian itu.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan kes masih dalam siasatan.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan