RSS
Post Icon

Enam penguat kuasa dikurung pendatang 40 lelaki bersenjata pertahan dalang palsu dokumen

KUALA LUMPUR: Enam anggota penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan yang membuat serbuan ke atas sindiket pemalsuan pas pelajar di sebuah flet di Jalan Bukit Bintang di sini, malam kelmarin, dikunci dari luar dan dikepung 40 lelaki rakyat asing bersenjatakan parang, kayu dan pisau.

Kejadian berlaku jam 7 malam selepas pasukan itu menahan lelaki Bangladesh yang juga pakar komputer berusia 30-an disyaki memalsukan pas pelajar institut pengajian tinggi swasta.

Pasukan itu bernasib baik selepas mereka menjerit ke arah anggota polis yang meronda di kawasan itu melalui tingkap premis mereka dikurung. 

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata kumpulan rakyat Myanmar dan Bangladesh yang mengepung mereka bagaimanapun melarikan diri sejurus menyedari polis menghampiri bangunan itu. 

Katanya, siasatan mendapati kumpulan yang melakukan kepungan itu anggota sindiket dan pelanggan kepada lelaki Bangladesh yang juga suspek utama. 

Hasil pemeriksaan di premis itu, pihaknya merampas komputer dilengkapi mesin faksimili serta mempunyai pelbagai perisian dokumen pendaftaran khidmat memperbaharui pasport palsu, pas pelajar palsu, sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pelbagai dokumen Jabatan Imigresen Malaysia. 

“Suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu,” katanya. 

Lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan serta Seksyen 56 (1)(L) akta yang sama atas kesalahan melakukan pemalsuan dokumen dan Seksyen 12 (1)(c) kerana memiliki pasport milik orang lain. 

Berita Harian
6 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Lelaki gila bakar al-Quran ditahan

KLANG: Misteri kejadian al-Quran di masjid Kampung Johan Setia, dekat sini, dibakar terjawab selepas polis menahan seorang lelaki disyaki kurang siuman, semalam.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan selepas penduduk dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid mengesyaki dia melakukan perbuatan itu berikutan pernah dilihat membuang dan membakar surah Yasin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam, siak masjid berkenaan ternampak senaskhah al-Quran dan kalendar dilekatkan pada dinding masjid mempunyai kesan terbakar ketika memasuki masjid berkenaan untuk solat Subuh.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan pemetik api untuk membakar naskhah al-Quran yang diletakkan di atas permaidani di masjid itu.

“Ketika ditemui, api sudah padam, tetapi naskhah al-Quran itu masih berasap. Menurut siak masjid, pintu pagar masjid berkenaan dikunci, tetapi pintu masjid tidak berkunci.

“Kejadian itu dilaporkan nazir masjid pada jam 9 pagi tadi (semalam),” katanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, tangkapan terhadap lelaki yang dipercayai kurang siuman itu dibuat kira-kira jam 11.30 pagi semalam di rumahnya di kampung sama. Jarak rumah suspek dengan masjid itu kira-kira 100 meter.

Katanya, siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, tetapi lelaki itu ditahan berikutan keterangan AJK masjid berkenaan mengenai perbuatannya sebelum ini, selain suspek pernah membakar motosikal seorang lelaki warga asing yang menetap di kampung berkenaan.

myMetro
6 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Panjat bumbung

GEORGETOWN: Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan bertindak memanjat bumbung sebuah hotel untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam satu operasi maksiat di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), kelmarin.

Lelaki berusia 20-an itu adalah antara empat pasangan kekasih berusia antara 20 dan 30-an yang dicekup selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel di Seberang Jaya dan Butterworth.

Operasi cegah maksiat bermula dari jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 9 pagi itu membabitkan sepasukan 12 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Penolong Ketua Unit Operasi, Ibrahim Md Jaki.

Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail berkata, dalam pemeriksaan itu, beberapa hotel diperiksa selepas semakan di buku pendaftaran masuk mendapati terdapat pasangan mencurigakan.

Beliau berkata, di salah sebuah hotel, salah seorang pegawai penguat kuasa agama dimaklumkan seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap bilik hotel untuk ke bumbung.

“Ketika lelaki berkenaan cuba melarikan diri, perbuatannya dilihat dan disedari sebelum dia disergah menyebabkannya terkejut dan menyerah diri.

“Pemeriksaan lanjut di bilik yang disewa lelaki berkenaan menemui seorang wanita dan soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku pasangan kekasih.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan kedua-duanya berpakaian lengkap,” katanya.

Jaafar berkata, dalam pemeriksaan di sebuah hotel di Seberang Jaya kira-kira jam 3 pagi, seorang lelaki yang hanya bertuala mengaku tinggal berseorangan di dalam bilik sedangkan teman wanitanya bersembunyi di bilik air.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu lelaki berusia 20-an terbabit enggan memberi kerjasama ketika diminta pegawai penguat kuasa agama, namun terpaksa akur selepas pelbagai jenis pakaian wanita ditemui dalam bilik berkenaan.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Butterworth sebelum laporan tangkapan dibuat di Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Semua pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin JHEAIPP selepas keluarga dan waris hadir menjamin mereka,” katanya.

myMetro
6 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Telinga koyak, tubuh digigit


KOTA TINGGI: “Bukan setakat dicakar di belakang badan, malah telinga, tengkuk, ketiak, paha dan kaki saya juga digigit,” kata Muhammad Rafiq Abdul Rashid yang diserang empat anjing jiran ketika berjalan pulang bersama kembarnya, Muhammad Rafie, ke rumah mereka di Kampung Panti di sini.

Murid berusia sembilan tahun itu berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang Ahad lalu, dia hanya mampu menutup muka sambil meraung kesakitan.

Dia yang ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini, semalam, berkata ketika kejadian itu dia dan Muhammad Rafie berjalan kaki pulang ke rumah sebelum tiba-tiba dikejar empat anjing jiran.


PARAH... telinga Rafiq yang hampir putus akibat diserang anjing.

Menurut murid tahun tiga itu, kembarnya sempat melarikan diri tapi dia gagal berbuat demikian kerana terjatuh menyebabkan dia dikerumuni empat anjing berkenaan.

“Saya dicakar serta digigit. Sakit sangat rasanya masa itu. Tidak lama kemudian kembar saya datang bersama beberapa penduduk lalu menghalau semua anjing itu.

“Syukur kerana mereka cepat membantu, jika tidak, saya tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Rafiq menerima 30 jahitan di seluruh badan manakala telinga kanannya dijahit bagi menyambung koyakan lebar.

Abang pasangan kembar berkenaan, Mohd Shahril, 23, berkata empat anjing itu dipercayai milik seorang peniaga ikan yang tinggal kira-kira 200 meter dari rumah mereka untuk mengawal harta bendanya.

“Entah bagaimana, pada petang hari kejadian anjing peliharaannya terlepas lalu mengejar dua adik saya itu. Ini kejadian pertama membabitkan anjing menyerang manusia di kampung ini.

“Saya harap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini kerana bimbang jika tiada tindakan dibuat, perkara lebih buruk mungkin boleh berlaku,” katanya.

Bapa mangsa, Abdul Rashid Ibrahim, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di Melaka kerana berkursus.

“Pemilik anjing itu ada datang ke hospital menjenguk anak dan berjanji membiayai segala kos perubatan sehingga Rafiq sembuh,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba, Naib Pengerusi Umno Bahagian Tenggara, Suhaimi Khalid serta Ketua Wanita UBT, Datin Salasiah Idris turut melawat keluarga mangsa.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Dikebumi lepas 61 tahun

MOHAMMED...maut nahas pesawat Douglas DC-3

KUALA LUMPUR: Cebisan rangka milik Konstabel 9364 Mohammed Abdul Lalil @ Jalil yang terkorban selepas pesawat Douglas DC-3 dinaikinya terhempas pada 1950 dan sudah dikenal pasti melalui ujian Asid Deoksirinueklik (DNA) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Bukit Treh, Muar Johor, tengah hari, semalam.

Mohammed adalah antara 12 mangsa yang menyertai operasi pengguguran smoke marker pada 25 Ogos 1950 bagi menentang komunis dalam hutan tebal Gua Musang, Kelantan.

Pengarah Muzium Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Kolonel Norhayati Mansor berkata, selepas hampir 60 tahun disemadikan berhampiran pesawat, Tentera Darat (TD) melalui Unit Muzium menjalankan Ekspedisi Garis Waktu untuk mengeluarkan semua mayat mangsa.

TERIMA...anggota polis membawa tulang Mohammed untuk diserahkan kepada keluarganya.

Menurutnya, ekspedisi itu dibuat selepas menerima permohonan tuntutan daripada waris keluarga mangsa di Pejabat Pertahanan Malaysia, London pada awal 2008 yang ingin mengetahui jasad dan lokasi sebenar ahli keluarga mereka disemadikan.

“Operasi itu bermula pada 2 hingga 12 November 2008 mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil kerajaan Britain dan pakar forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).

“Hasilnya, semua rangka termasuk cebisan tengkorak dan tulang dibawa keluar di dalam 12 bungkusan plastik kecil sebelum diserahkan ke Unit Forensik HUSM.

“Namun, selepas 15 bulan ujian DNA dilakukan, hanya tiga mangsa saja dikenal pasti iaitu dua daripadanya ialah warga British, iaitu Koperal F Bryant dan Dvr P Taylor,” katanya pada Majlis Penyerahan Cebisan Tulang Mohammed di Auditorium, Hospital Tuanku Mizan, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, satu majlis tandatangan penyerahan cebisan tulang Mohammed dilaksanakan antara Muzium TD dengan Muzium PDRM sebelum cebisan itu dihantar ke Bukit Aman untuk dikafankan dan disembahyangkan serta diserahkan kepada keluarga mangsa.

myMetro
7 Apr 2011


‘Syukur dapat kebumi jenazah abang’

MUAR: “Alhamdulillah, semua urusan pengebumian Allahyarham dapat disempurnakan mengikut lunas Islam selepas 61 tahun arwah bersemadi berhampiran rangka pesawat Dakota yang terhempas pada 1950,” kata Hamdan Abdul Jalil, 72, yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Treh di sini, semalam.

Hamdan adalah adik kepada Muhammad yang terkorban selepas pesawat Dakota DC-3 dinaikinya dalam misi menjejak pengganas komunis bersama 11 yang lain terhempas di Gua Musang, Kelantan.

“Saya terharu kerana selepas 61 tahun, akhirnya hasrat anggota keluarga untuk mengebumikan abang dengan sempurna termakbul.

“Lebih mengharukan, jenazah abang akhirnya dikebumikan berhampiran pusara kedua ibu bapa kami,” katanya.

Arwah Muhammad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Treh.

Mengimbau kembali kejadian yang menimpa abangnya, Hamdan berkata, ketika itu dia berumur 11 tahun dan ibu bapanya dimaklumkan berkaitan nahas berlaku oleh anggota polis yang dihantar sebagai wakil ke rumah mereka.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Pelajar alami ketumbuhan rusuk - Telah meninggal dunia pada 25 Mac 2011

MUHAMMAD NUR HAKIM tidak dapat bergerak selepas mengalami ketumbuhan pada rusuk kanannya.

IPOH – Seorang pelajar berusia 15 tahun menagih simpati orang ramai bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung akibat ketumbuhan pada bahagian rusuk kanan tubuhnya sejak enam bulan lalu.

Disebabkan penyakit itu, Muhammad Nur Hakim Hasram, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Muhamad Taib di sini terpaksa menangguhkan sementara persekolahannya.

Menurut Muhammad Nur Hakim, ketumbuhan tersebut mula disedari selepas kesan lebam akibat terjatuh semasa bergurau dengan seorang rakannya mulai membengkak sehingga menyukarkannya untuk bergerak.

“Sebulan selepas itu kesihatan saya semakin merosot bahkan tidak lagi mampu berjalan dan sukar duduk lama,” katanya ketika ditemui di sini.

Muhammad Nur Hakim yang kini terlantar di rumahnya di Taman Klebang Jaya di sini menerima kunjungan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tambun yang diketuai Ketuanya, Mazlan Abd Rahman semalam.

Dalam pada itu, bapanya, Hasram Mohd Jamal, 53, berkata, walaupun Muhammad Nur Hakim telah dirujukkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) di sini namun tiada tindakan susulan terhadap ketumbuhan yang semakin besar itu.

“Setiap bulan, kami menghantarnya ke HRPB untuk mendapatkan rawatan susulan, tetapi keadaan anak kami masih tiada perubahan.

Kosmo
18 Feb 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

‘Cari duit sebelum rehat’

JERANTUT: “Selama ini, ayah memang tidak suka bergambar dan kadang- kala dia akan memarahi orang yang mengambil gambarnya tetapi pada petang semalam, ayah seolah-olah tidak kisah apabila gambarnya dirakamkan.

“Ayah juga berkata, dia mahu ke kebun dan mencari duit yang banyak buat emak sebelum berehat selama-lamanya. Mungkin ayah sudah tahu apa yang bakal berlaku kepada dirinya.

“Saya benar-benar tidak menyangka apa yang ayah katakan itu adalah ayat terakhir yang saya dengar. Saya cuma menganggap kata-kata itu sebagai gurauan tetapi ia sebenarnya petanda ayah akan pergi,” kata Saiya Mohammad, 43, yang ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat bapanya, Mohammad Sulaiman, 71, selepas bot dinaiki bersama isteri, Hasmah Othman, 45, terbalik berdekatan Pulau Perias, Jerantut Feri, jam 7.15 malam kelmarin.

Sehingga malam tadi, Mohammad Sulaiman masih belum ditemui manakala Hasmah berjaya diselamatkan penduduk.

Jauh di sudut hatinya, Saiya tetap mengharapkan bapanya masih hidup dan diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat dan beliau tidak akan sesekali menganggap ayahnya itu sudah meninggal selagi tubuhnya tidak ditemui. Mohammad dan Hasmah dikatakan terhumban ke dalam Sungai Pahang selepas bot yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan dan berpusing-pusing sebelum terbalik. Bagaimanapun, Hasmah sempat diselamatkan beberapa penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

Suami isteri itu sedang dalam perjalanan pulang semula ke Jerantut Feri dari kebun getahnya di Kampung Perias Seberang dan beberapa kenalan mangsa termasuk saksi kejadian memberitahu, pasangan terbabit biasanya akan pulang dari kebun getah mereka sebelum Maghrib.

Saksi, Fatah Salleh, 32 , berkata, dia berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan terdengar bunyi enjin bot yang agak kuat berbanding biasa serta berpusing-pusing sebelum diikuti suara wanita meminta tolong.

“Saya hanya sempat menjerit meminta bantuan serta menelefon kawan yang mempunyai bot untuk memberi bantuan. Sambil itu, saya hanya melihat bot mangsa berpusing-pusing sebelum terangkat dan terbalik. “Mangsa kerap bersama isterinya ke kebun tetapi pada petang kelmarin, mereka pulang agak lewat daripada biasa. Selalunya, mereka sudah berada di seberang sini sebelum Maghrib,” katanya.

myMetro
7 Apr 2011

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS